dari jemapoh ke manchestee
 
 
 

Dewan Budaya tahun 1998

KEMBARA HISHAMUDIN RAIS: DARI JEMAPOH KE MANCHESTEE part 1
oleh Faisal Tehrani

BUKU-BUKU sejarah masih tidak memadamkan nama Hishamudin Rais dari dunia gerakan kemahasiswaan yang penuh menyala itu sepanjang dekad 1970 an. Zaman panas di institusi pengajian tinggi, apabila pelajar membela nasib petani miskin di utara. Demonstrasi Baling dan Operasi Mayang 8 Disember 1974 membawa Hishamudin jauh mengungsi diri atau lebih tepat pergi berili mencari diri.

Kini hasil kembaranya semacam menemukan sentuhan ajaib yang mempesonakan. Suatu lagi calitan histori di kanvas wayang gambar terconteng cantik. Filem pertama Hishamudin Rais dalam acuan industri filem tanahair yang kecil tetapi masih menongkah gigih; memang menyarankan suatu kelainan dan keunikan teristimewa. Filem beliau yang pertama itu juga mencatat sejarah sebagai filem tempatan pertama dengan genre kembara atau lebih dirujuk sebagai road movie di Amerika Syarikat. Hishamudin Rais adalah seorang lagi generasi baru pembikin filem Malaysia yang berani keluar dari kebiasaan selain dari U-Wei, Shuhaimi Baba dan Adman Salleh.

Dari Jemapoh Ke Manchestee'. Judulnya sendiri memberikan kemeriahan berwarna-warni. Saya sudah beberapa kali menemui beliau sebelum ini, dan apabila kemudiannya menyatakan untuk berbincang lebih serius seputar hasil karya itu, beliau mengalu-alukan. Dalam perjalanan ke pejabat kecilnya di Bangsar, Kuala Lumpur (selalunya Hishamudin sendirian ditemani kucing hitam bermata satu), saya membayangkan - inilah lelaki yang telah lahir dari zaman serba kacau dunia politik, inilah generasi The Beatles, The Rolling Stones, The Swallows, Jeffrey Din dan Bob Dylan. Inilah lapis belia yang pernah mempertikaikan kehadiran Amerika Syarikat di rantau ini - di Vietnam.

Umum mengetahui Hishamudin jauh mengembara hingga ke Eropah setelah terlepas dari Operasi Mayang yang menghantar lebih 1400 mahasiswa ke lokap dan penjara. Tidak ramai pula yang menyangka Hishamudin pernah menuntut di Leuven la Neuve Catholic University di Belgium dan graduan filem dari University Of Westminster. Di sini, terhasil beberapa filem pendek, kerja projek tahun akhirnya - The Malaysian Werewolf In London - selalu disebut tetapi jarang ditonton. Beliau juga amat dikenali menerusi hasil tulisannya sekitar filem dan budaya di Berita Minggu, setiap Ahad dengan kolum Analog.

Secara peribadi, beliau memang seorang yang ceria dan sering ketawa, serius bila bercakap sesuatu yang menuntut berfikir secara berat, amat teliti dalam hal-hal seni dan sesekali terzahir jua sifat kritisnya.

"Filem ini mewakili diri saya." sepatah kata Hishamudin Rais apabila saya mulakan diskusi. Beliau berada di luar negara lebih dua puluh tahun dan kembali pada tahun 1994. Beliau ditahan beberapa ketika, suatu proses biasa soal-siasat setelah pulang. Ketika inilah ilham awal filem Dari Jemapoh Ke Manchestee menyala. Dari Jemapoh Ke Manchestee ditukangi sebagai road movie memandangkan strukturnya. Filem-filem dari genre ini biasanya membiarkan watak-watak mengembara ke sesuatu tempat tetapi bukan destinasi itu yang ingin dituju, pencarian dirilah yang lebih utama. Kerana yang penting di dalam filem jenis ini ialah bagaimana mereka menjadi manusia yang lain di akhir kisah atau perkara-perkara yang telah menunda perubahan diri mereka.

"Hidup itu perjalanan" begitu kata Hishamudin bila saya tanyakan kenapa memilih genre ini sebagai hasil kerjanya. Road movie sebagai kerja seni sepatutnya tidak diremehkan. Beberapa karyawan besar dunia perfileman bermula dengan flem kembara begini. Steven Spielberg, Bergman atau Dennis Hopper sekadar satu dua nama menjadi besar setelah road movie. Hishamudin mengakui beliau amat menyenangi genre ini. Apatah lagi filem ini tidak memerlukan karektor yang banyak, memudahkan seseorang pengarah mengawal watak dan pelakon-pelakonnya. Apa yang ditemui pasti ditinggalkan untuk berjalan lebih jauh ke hadapan. Oleh itu sebagai karyawan, watak tidak perlu dikembangkan. Selain kosnya yang murah kerana jalanraya itu sendiri sebagai satu peranan utama.

teruskan disini

 

smallman